Skip to main content

Malaysia

PM Anwar pelawa syarikat terkemuka Jepun teroka teknologi baharu di Malaysia

KUALA LUMPUR, June 9 -- Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim, who is also the Finance Minister, participates in a roundtable meeting with Japanese captains of industry during his official visit to Japan today.  Also present were Minister of Investment, Trade and Industry Datuk Seri Johari Abdul Ghani and Minister of Entrepreneur Development and Cooperatives Steven Sim Chee Keong.  --fotoBERNAMA (2026) COPYRIGHT RESERVED
Anwar berucap pada sesi meja bulat bersama 29 tokoh perniagaan terpilih dari Jepun di Tokyo hari ini. - Foto Bernama

TOKYO: Malaysia bersedia menerima lebih banyak pelaburan daripada syarikat terkemuka Jepun untuk meneroka industri bernilai tinggi, khususnya dalam sektor semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran kuantum dan teknologi digital.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia kini berada dalam fasa peralihan daripada sektor tradisional kepada ekonomi berasaskan teknologi dan inovasi, sekali gus membuka ruang lebih luas kepada pelabur Jepun untuk memperluas kerjasama.

Katanya, hubungan Malaysia-Jepun yang telah dibina sejak beberapa dekad menjadi asas kukuh untuk meneroka bidang baharu yang mempunyai nilai tambah lebih tinggi.

"Industri Jepun antara pelabur terawal yang membantu perkembangan ekonomi Malaysia selepas kemerdekaan, termasuk dalam sektor pembuatan dan elektrik serta elektronik (E&E).

“Dari permulaan kecil, kita bermula dengan getah, kemudian minyak dan gas, dan kini kita memberi tumpuan lebih kepada semikonduktor. Malaysia telah menjadi hab semikonduktor di rantau ini dan sektor E&E terus berkembang dengan pesat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan kata-kata aluan pada Mesyuarat Meja Bulat bersama 29 tokoh perniagaan dan pemimpin industri Jepun di Tokyo pada Selasa.

Menurut beliau lagi, pengalaman serta kepakaran syarikat Jepun amat penting ketika Malaysia memperkukuh ekosistem teknologi baharu termasuk AI, pengkomputeran berprestasi tinggi dan teknologi kuantum.

Anwar turut menggesa pemain industri Jepun supaya terus menyokong serta meningkatkan pelaburan di Malaysia, selari dengan agenda negara untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi.

Katanya, selain sektor teknologi, kerjasama dalam bidang tenaga juga mempunyai potensi besar, termasuk pembangunan grid tenaga dan projek sambungan kabel dasar laut yang menghubungkan Malaysia dengan negara serantau.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan hubungan Malaysia-Jepun bukan hanya tertumpu kepada pelaburan, tetapi turut merangkumi kerjasama pendidikan, penyelidikan dan pembangunan bakat.

Beliau berkata, pengukuhan hubungan dengan universiti serta pusat penyelidikan Jepun penting bagi memastikan Malaysia bersedia menghadapi perubahan teknologi global.

“Kita mewakili pemikiran baharu kerajaan yang mahu mendengar, belajar dan memahami. Untuk maju, kita perlu menerima semua pandangan supaya pembangunan lebih inklusif,” katanya.
 

Must Watch Video

Advertisement