KUALA LUMPUR: Pengarah Eksekutif KRA Group, Valentine Willie, meninggal dunia hari ini pada usia 72 tahun.
Dalam satu kenyataan, KRA Group memaklumkan bahawa pemergian beliau merupakan satu kehilangan besar kepada syarikat serta komuniti yang pernah bekerjasama sepanjang kerjayanya.
Menurutnya, Valentine, yang merupakan seorang peguam terlatih dan pendukung seni telah berkhidmat sebagai Pengarah Eksekutif KRA Group sejak 2018.
"Beliau memberikan hala tuju yang kukuh kepada syarikat dan sentiasa menekankan standard tertinggi dalam setiap aspek pengurusan serta operasi organisasi.
"Kami sentiasa dibimbing oleh pemahaman mendalam beliau mengenai rantau ini, khususnya Indonesia, Filipina dan Malaysia, terutama negeri kelahirannya yang amat dicintai, Sabah," menurut kenyataan itu.
KRA Group turut menyifatkan mendiang sebagai seorang mentor yang bijaksana serta 'tuan rumah' yang mesra, dengan kepimpinan, kebijaksanaan serta sifat pemurahnya memberi kesan mendalam kepada semua yang pernah bekerja bersama beliau.
"Kami merakamkan ucapan takziah yang tulus ikhlas kepada keluarga dan insan tersayang beliau atas kehilangan ini," tambah KRA Group.
Upacara penghormatan terakhir akan diadakan di Xiao En Centre, Jalan Kuari, Cheras bermula 8 malam ini serta dari 10 pagi hingga 10 malam pada 10 Jun.
Masa pengebumian pula dijadual berlangsung di Cathedral of St. John, Bukit Nanas pada Khamis, 11 Jun, pada pukul 10.30 pagi.
Untuk rekod, Valentine memperoleh ijazah undang-undang daripada University College London (UCL).
Beliau kemudiannya pulang ke Malaysia pada tahun 1978 dan bertugas sebagai peguam di Sabah selama 20 tahun, di samping menerbitkan bukunya mengenai Undang-Undang Perbankan pada tahun 1996.
Pada tahun yang sama, Valentine meninggalkan bidang perundangan untuk menubuhkan syarikat perundingan seni serta galeri seni di seluruh Asia Tenggara, khususnya di Malaysia, Singapura, Filipina dan Indonesia.