DUNGUN: Mayat seorang daripada dua beradik yang dikhuatiri lemas ketika mandi di Sungai Beril dekat Taman Beril, Paka di sini pagi tadi ditemukan petang ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Dungun, DSP Jumaidy Bah Chong Weh berkata mayat Muhammad Amir Ashraf, 15, ditemukan pasukan mencari dan penyelamat pada 3.47 petang.
Beliau berkata anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Chukai yang melakukan selaman, menemukan mayat pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Durian Guling, Marang di dasar sungai pada kedalaman kira-kira 5.1 meter.
“Mayat mangsa ditemukan kira-kira tujuh meter dari tempat mangsa dilaporkan lemas, sebelum dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut," katanya dihubungi hari ini.
Bagaimanapun Jumaidy berkata seorang lagi mangsa iaitu adik kepada Muhammad Amir Ashraf iaitu Muhammad Aidil Amsyar Mohd Zul-Zunaidi, 14, masih belum ditemukan dan operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan.
Beliau berkata pasukan mencari dan penyelamat yang terdiri daripada 37 anggota bomba, polis dan penduduk kampung, melancarkan gerakan mencari dan menyelamat sebaik menerima laporan kehilangan mangsa.
Dalam kejadian pada 10.56 pagi tadi, dua beradik terbabit dilaporkan lemas ketika mandi bersama dua lagi rakannya, Muhammad Farish Iqbal Cik Mohanarunasdi, 14, dan Muhammad Afi Naashif Adli Noone, 15.
Bagaimanapun Muhammad Farish Iqbal dan Muhammad Afi Naashif selamat dalam kejadian itu.
-- BERNAMA