KUALA LUMPUR: Malaysia perlu melihat pembangunan pusat data sebagai satu prasyarat penting untuk meneroka sektor ekonomi bernilai tinggi, namun tumpuan utama negara harus kekal kepada aplikasi teknologi yang mampu meningkatkan produktiviti industri pembuatan dan tenaga kerja tempatan.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata pembangunan pusat data perlu dilihat sebagai platform yang menyokong transformasi industri, khususnya dalam penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital bagi meningkatkan kecekapan operasi.
“Bagi saya, pusat data adalah prasyarat untuk kita menceburi sesuatu yang lebih bernilai. Perkara paling penting ialah kita perlu memberi tumpuan kepada platform dalam industri pembuatan dan aplikasi teknologi yang boleh meningkatkan produktiviti pekerja,” katanya.
Akmal berkata demikian dalam sesi forum bertajuk “Navigating External Uncertainties, Strengthening Resilience sempena Invest Malaysia 2026, pada Selasa.
Beliau berkata pada masa yang sama, pembangunan pusat data perlu diiringi dengan pengurusan infrastruktur yang mampan, termasuk aspek peralihan tenaga bagi memastikan pertumbuhan sektor digital tidak menjejaskan keperluan tenaga negara.
Menyentuh industri semikonduktor, Akmal berkata Malaysia telah lama berada dalam rantaian bekalan global, khususnya dalam segmen hiliran atau back-end semikonduktor, dan kini perlu bergerak ke arah aktiviti bernilai tambah yang lebih tinggi.
Menurut beliau, fokus perlu diberi kepada dua keutamaam, iaitu meningkatkan kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai semikonduktor dengan meneroka aktiviti berteknologi tinggi, serta mempertingkatkan produktiviti pekerja sedia ada dalam sektor pembuatan.
“Apabila kita bercakap mengenai reka bentuk cip, reka bentuk AI dan teknologi berkaitan, ia memerlukan set kemahiran yang berbeza. Kosnya juga lebih tinggi berbanding beberapa bidang lain,” katanya.
Beliau berkata Malaysia mempunyai kelebihan tertentu dalam bidang reka bentuk litar bersepadu kerana memiliki kumpulan bakat yang berkualiti, sekali gus menjadi faktor penting yang menarik pelaburan asing ke negara ini.
“Pelaburan datang kerana kita mempunyai kumpulan bakat yang terbaik. Namun, ada industri yang menyatakan mereka memerlukan lebih ramai tenaga mahir dan usaha sedang diteruskan untuk menangani perkara tersebut.
“Komitmen saya jelas. Persetujuan yang dicapai dengan Arm Limited, apa juga yang berlaku, akses kepada teknologi tersebut tetap tersedia.
“Kini terserah kepada pemain industri untuk melaksanakan dan memanfaatkannya,” katanya lagi.
Tegasnya lagi, kejayaan Malaysia dalam sektor semikonduktor dan AI bukan hanya bergantung kepada kemasukan pelaburan baharu, tetapi juga keupayaan negara membangunkan bakat tempatan serta meningkatkan produktiviti industri ke tahap yang lebih tinggi.