Skip to main content

Malaysia

Lelaki curi kabel KTMB dipenjara tiga bulan

KLANG, 9 Jun -- Warga tempatan Railey Nasal, 35, (dua, kiri) dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret Klang hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri kabel Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) pada Sabtu lepas._BERNAMA
Railey Nasal (dua, kiri) dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret Klang hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri kabel KTMB pada Sabtu lepas. - Foto Bernama

KLANG: Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan terhadap seorang lelaki selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri kabel Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) pada Sabtu lepas. 

Majistret Nor Azilah Mat menetapkan hukuman berkenaan terhadap Railey Nasal, 35, dan memerintahkan hukuman tersebut dikenakan bermula dari tarikh tangkapan. 

Lelaki itu didakwa mencuri kabel trek jenis 16 milimeter (mm) sepanjang 40 meter (m), dan jenis 2.5 mm sepanjang 20 m milik KTMB bernilai RM850 dengan cara memutuskan kabel berkenaan.

Kesalahan itu dilakukan di landasan kereta api KTM berdekatan Jalan Sembilang 8E, Jalan Telok Pulai, di sini kira-kira 1.20 tengah hari pada 6 Jun. 

Tertuduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun, denda atau kedua-duanya sekali. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Sulfie Abu Hassan, manakala tertuduh diwakili oleh Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Izzat Dzulkafli.

Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki ditahan ketika dipercayai sedang mencuri kabel di kawasan landasan kereta api di Kilometer (KM) 36.215 Downline Klang. 

KTMB dalam kenyataan memaklumkan kejadian itu terbongkar apabila anggota Polis Bantuan KTMB yang menjalankan rondaan bersama-sama Pasukan Taskforce D4 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan menerima maklumat mengenai gangguan litar landasan di lokasi berkenaan.

-- BERNAMA 

 

Must Watch Video

Advertisement