SHAH ALAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor berjaya menumpaskan kegiatan penyimpanan diesel secara haram dalam satu serbuan di Teluk Panglima Garang semalam.
Pengarah KPDN Selangor, Muhamad Hanif Asa’Ari berkata serbuan kira-kira jam 5 petang itu dilaksanakan hasil pemantauan risikan yang dijalankan selama dua minggu di lokasi yang dikenal pasti sebagai ‘hotspot’ kegiatan tersebut.
Beliau berkata premis yang tidak bernombor itu didapati menyimpan bahan api dipercayai jenis diesel tanpa lesen sah.
"Hasil pemeriksaan di lokasi menemui sebuah tangki jenis 'skid tank' berkapasiti 30,000 liter yang mengandungi kira-kira 4,000 liter diesel," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, pelbagai peralatan pemindahan bahan api seperti hos sambungan, pam dan alat pengukur aliran turut dirampas bagi membantu siasatan lanjut.
Dalam operasi sama, seorang lelaki tempatan berusia lingkungan bawah 30 tahun yang dipercayai penjaga premis turut ditahan.
"Pemeriksaan awal mendapati individu terbabit gagal mengemukakan dokumen sah untuk memiliki atau mengendalikan bahan api berkenaan," katanya.
Menurut KPDN, aktiviti tersebut dipercayai melibatkan urus niaga mencurigakan barang kawalan dan akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM50,000, manakala sebanyak RM15,000 nilai subsidi berjaya diselamatkan dalam operasi berkenaan.
Sepanjang pelaksanaan Op Tiris 4.0 sejak 16 Mac hingga 8 Jun lalu, KPDN Selangor telah menjalankan sebanyak 2,794 pemeriksaan dengan 57 kes diambil tindakan.
Nilai keseluruhan sitaan direkodkan mencecah RM2 juta, selain berjaya menyelamatkan subsidi kerajaan berjumlah RM265,000.
Muhamad Hanif menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi undang-undang berkaitan barang kawalan.
Orang ramai turut digesa menyalurkan maklumat berkaitan penyelewengan kepada pihak berkuasa melalui saluran rasmi KPDN.