PUTRAJAYA: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan kerajaan akan terus menyediakan peruntukan mencukupi bagi kerja naik taraf dan pembaikan premis pendidikan awal kanak-kanak Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di seluruh negara.
Jelas Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu, usaha memperkasakan KEMAS tidak boleh dilaksanakan tanpa kemudahan pembelajaran yang kondusif serta sokongan berterusan daripada kerajaan.
“Persekitaran pembelajaran mesti terus dipertingkatkan. Anak-anak yang hebat memerlukan suasana pembelajaran kondusif, manakala pendidik cemerlang berhak mendapat kemudahan selesa yang menyokong tugas mereka,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Pendidik KEMAS 2026, di sini, pada Selasa.
Pada masa sama, Zahid turut menggariskan tiga agenda utama yang akan menjadi fokus KEMAS bagi memastikan institusi itu kekal relevan dan berdaya saing dalam mendepani cabaran masa depan.
Agenda pertama ialah memperkasa kompetensi serta profesionalisme warga pendidik KEMAS.
“Usaha memperkasa pendidik KEMAS mesti terus menjadi keutamaan. Saya mahu warga pendidik KEMAS sentiasa diberi ruang untuk meningkatkan kompetensi, memperkukuh kemahiran dan menyesuaikan diri dengan perubahan pendidikan semasa.
"Budaya pembelajaran sepanjang hayat, peningkatan kemahiran, pensijilan dan pengiktirafan profesional perlu terus diperkasakan supaya tenaga pengajar KEMAS kekal relevan serta bersedia menghadapi perubahan landskap pendidikan," katanya.
Agenda kedua pula melibatkan penambahbaikan kemudahan dan persekitaran pembelajaran di seluruh premis KEMAS.
Sementara itu, agenda ketiga memberi penekanan kepada pembudayaan inovasi dan pendekatan baharu dalam pendidikan awal kanak-kanak.
“Saya mahu warga pendidik KEMAS terus berani mencetuskan idea dan pendekatan baharu dalam pendidikan awal kanak-kanak.
“Sebagai insan yang paling dekat dengan murid, ibu bapa dan komuniti, jangan takut beri cadangan. Saudara dan saudari lebih memahami keperluan sebenar di lapangan,” katanya.