KUALA LUMPUR: Kerajaan dalam usaha untuk mewujudkan surau Jumaat yang selesa di Bukit Bintang bagi memudahkan masyarakat Islam menunaikan ibadah di kawasan tumpuan pelancong itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan menerusi hantaran di Facebook hari ini berkata ketika ini kawasan tersebut mempunyai Oasis Outreach Bukit Bintang sebagai pusat gerakan.
“Kami juga menumpukan usaha yang sama di kawasan lain seperti di Chow Kit. Jika tiada aral, Bangunan Yayasan Selangor yang terletak betul-betul di persimpangan “Shibuya” Bukit Bintang akan dijadikan sebagai surau atau masjid.
“Usaha juga diperluas di Chow Kit dan kawasan lain dengan visi jangka panjang membina masjid tersergam indah untuk memudahkan umat Islam beribadah, Insya-Allah,” katanya.
Zulkifli berkata sebelum ini beliau telah memberikan idea untuk mewujudkan surau Jumaat dan pimpinan Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Hal Ehwal Agama) berusaha untuk melaksanakan perkara itu dengan segera.
“Sejak dua tahun lepas, saya dan pasukan JPM (Hal Ehwal Agama) menggerakkan banyak program dakwah lapangan dan kebajikan di Bukit Bintang, Chow Kit dan kawasan sekitar.
“Alhamdulillah, syukur atas gerak kerja pantas Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam usaha dakwah berhikmah ini,” katanya.
-- BERNAMA