MELAKA: Sesi kaunseling dan khidmat nasihat yang disediakan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terus menjadi medium penting dalam membantu golongan wanita khususnya bergelar ibu berdepan masalah keganasan rumah tangga serta penderaan.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti Melaka Datuk Kalsom Noordin berkata semakin ramai wanita tampil mendapatkan bantuan dan sokongan menerusi platform disediakan agensi berkenaan bagi menyelesaikan konflik rumah tangga secara lebih selamat dan teratur.
Beliau berkata sesi kaunseling bukan sahaja membantu mangsa mendapatkan sokongan emosi, tetapi juga memberi panduan berkaitan hak, perlindungan serta tindakan yang boleh diambil sekiranya berlaku penderaan atau penganiayaan dalam rumah tangga.
“Setakat tahun lepas hanya lapan kes dilaporan berkaitan jenayah keganasan rumah tangga dan penderaan manakala tahun ini, tiada laporan kes yang serius atau mengejutkan diterima.
“Kes-kes sedemikian masih terkawal di sini (Melaka) memandangkan kita banyak membantu wanita dan pasangan yang berdepan masalah kekeluargaan termasuk melibatkan keganasan domestik menerusi sesi kaunseling dan intervensi awal yang dilaksanakan oleh LPPKN serta JKM,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Ibu Peringkat Negeri Melaka di sini pada Ahad.
Beliau berkata pihaknya komited untuk memastikan golongan ibu sentiasa tahu bahawa mereka tidak bersendirian dan kerajaan mempunyai pelbagai saluran bantuan yang dipercayai untuk mereka tampil mendapatkan pertolongan.
Kalsom berkata masih terdapat dalam kalangan wanita yang takut atau malu untuk membuat laporan apabila menjadi mangsa penderaan fizikal, emosi atau penganiayaan suami.
“Kadang-kadang apabila ada laporan dibuat, itu menunjukkan masyarakat sudah semakin berani tampil mendapatkan bantuan dan tidak lagi memendamkan masalah sendiri. Hal ini sekali gus menunjukkan pelbagai program advokasi, penerangan dan kesedaran yang dilaksanakan LPPKN dan JKM serta agensi lain semakim memberi impak,” katanya.
Kalsom turut menasihati golongan ibu supaya celik digital dan memahami perkembangan teknologi bagi membolehkan mereka mengakses maklumat dengan lebih cepat termasuk berkaitan hak wanita, bantuan kebajikan serta saluran aduan disediakan kerajaan.
-- BERNAMA