Skip to main content

Malaysia

Jambatan tempat Jaslinda ditemui selamat dapat perhatian kerajaan negeri

https://www.sinarharian.com.my/article/783028/edisi/perak/jambatan-tempat-jaslinda-ditemui-selamat-dapat-perhatian-kerajaan-negeri
Keadaan jambatan kayu yang uzur di Kampung Orang Asli Lubuk Gaharu iaitu lokasi penemuan pendaki wanita hilang, Jaslinda.

TAPAH: Keadaan jambatan kayu yang uzur di Kampung Orang Asli Lubuk Gaharu iaitu lokasi penemuan pendaki wanita hilang, Jaslinda Saludin mendapat perhatian kerajaan negeri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang, Choong Shin Heng berkata, satu lawatan ke kampung berkenaan akan dilakukan dalam masa terdekat bagi meninjau sendiri keadaan jambatan tersebut sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.

“Saya akan turun ke kampung itu dalam sehari dua ini untuk melihat sendiri keadaan jambatan dan berbincang dengan tok batin mengenai keperluan sebenar penduduk,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, sekiranya terdapat keperluan mendesak, beliau akan berusaha membantu mengemukakan permohonan bagi pembinaan jambatan baharu demi keselesaan dan keselamatan penduduk.

“Kalau keperluan itu ada, memang saya akan usahakan. Cuma saya mahu berbincang terlebih dahulu dengan tok batin untuk mendapatkan gambaran menyeluruh,” katanya.

Keadaan jambatan sepanjang kira-kira 50 meter itu mendapat perhatian di media sosial susulan paparan video lokasi penemuan yang disiarkan Sinar Harian.

Rata-rata mereka mengharapkan, sebuah jambatan baharu yang lebih selamat dan kukuh dapat dibina demi keselamatan dan keselesaan penduduk.

Sebelum ini, Tok Batin Kampung Lubuh Gaharu, Mohd Asmadi Abdullah memaklumkan, jambatan tersebut dibina sejak dua tahun lalu menggunakan bahas asas seperti papan dan buluh.

Sebelum ini, penduduk terpaksa menyeberangai sungai, namun kini, jambatan berkenaan menjadi laluan utama kira-kira lebih 100 keluarga dari suku Semai untuk ke kebun dan hutan bagi mencari sumber rezeki.

Pada Sabtu, Jaslinda, 49, yang dilaporkan hilang di Gunung Batu Putih sejak 23 Mei, ditemui dalam keadaan selamat selepas dilihat berjalan seorang diri di atas jambatan di Kampung Lubuk Gaharu dekat Pos Musoh, Tapah.

Kehadiran itu disedari penduduk Orang Asli, Nazri Bah Eng, 55, dan Bah Roslan Bah Sulpok, 51, yang sedang memancing sekitar jam 5.10 petang. - Sinar Harian

 

 

Must Watch Video

Advertisement