KUCHING: ASEAN perlu mempunyai satu platform dan rangka kerja yang dipersetujui bersama oleh semua negara anggota bagi merealisasikan pelaksanaan Grid Tenaga ASEAN, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata pada ketika ini ASEAN masih belum mempunyai kerangka pelaksanaan yang konkrit, khususnya berkaitan aspek sambungan rentas sempadan.
“ASEAN memang hendak menubuhkan apa yang disebut sebagai Grid ASEAN, tetapi daripada perbincangan saya, nampak tiada rangka yang konkrit serta mempunyai kata sepakat dalam isu (sambungan rentas sempadan).
“Memang ada cadangan dari Laos ke Singapura dan juga daripada kita ke Indonesia, Filipina dan terus ke Singapura tetapi belum ada, dan bagaimana hendak melaksanakan sambungan rentas sempadan dan satu rangka kerja yang boleh diterima untuk semua,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan dan Pameran Hidrogen Hijau Asia Pasifik, di sini hari ini.
Justeru, Abang Johari berkata ketika ini Sarawak mengambil pendekatan lebih awal menerusi kerjasama dua hala dengan beberapa negara jiran sebagai persediaan ke arah integrasi tenaga serantau itu.
Beliau berkata Sarawak kini membekalkan tenaga ke Kalimantan Barat, Indonesia serta mempunyai penglibatan ekuiti di Kalimantan Timur menerusi Sarawak Energy Berhad (SEB), selain memperluas bekalan ke Sabah yang berpotensi disambungkan ke Filipina pada masa depan.
“Pada masa sama, perbincangan juga sedang berjalan untuk membekalkan tenaga ke Brunei, manakala eksport elektrik ke Singapura kini menunggu keputusan berkaitan laluan kabel.
“Hubungan ini merupakan persetujuan bilateral antara negara, namun pada masa hadapan akan menjadi sebahagian daripada rangkaian grid serantau,” katanya.
Abang Johari turut menyarankan ASEAN meneliti model yang diguna pakai oleh Kesatuan Eropah dalam mengurus dan menyelaras sistem tenaga serantau.
“Kita tidak perlu cipta semula, kita lihat bagaimana Kesatuan Eropah mengurus tenaga mereka dan kita sesuaikan mengikut ASEAN,” katanya.
Beliau berkata Sarawak kekal komited terhadap sasaran menghasilkan 10 gigawatt (GW) tenaga menjelang 2030, dengan penggunaan domestik ketika ini dianggarkan kira-kira enam hingga tujuh GW, sekali gus mewujudkan lebihan kapasiti untuk tujuan eksport.
-- BERNAMA