Skip to main content

Dunia

Vietnam lanjutkan pengecualian fi pendaftaran EV bagi sokong peralihan hijau

Sumber: Adobe Stock
Di bawah dekri yang dikeluarkan pada 8 Jun, EV berkuasa bateri akan terus dikecualikan daripada fi pendaftaran kali pertama bagi tempoh 1 Mac 2027 hingga 31 Disember 2030. - Gambar hiasan/Adobe Stock

HANOI: Vietnam melanjutkan pengecualian fi pendaftaran kali pertama sebanyak sifar peratus bagi kenderaan elektrik bateri (EV) sehingga akhir 2030, sekali gus mengukuhkan usaha mempercepat penggunaan pengangkutan hijau dan menyokong matlamat alam sekitar negara itu, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).

Di bawah Dekri No. 202/2026/ND-CP yang dikeluarkan pada 8 Jun, EV berkuasa bateri akan terus dikecualikan daripada fi pendaftaran kali pertama bagi tempoh 1 Mac 2027 hingga 31 Disember 2030.

Peraturan baharu itu menggantikan Dekri No. 51/2025/ND-CP yang sebelum ini melanjutkan insentif itu sehingga Februari 2027.

Menurut Kementerian Kewangan Vietnam, dasar itu bertujuan menggalakkan peralihan kepada pengangkutan yang lebih bersih, mengurangkan pelepasan daripada trafik jalan raya serta mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif bagi pelaburan dalam pengeluaran dan pengedaran kenderaan elektrik.

Sejak diperkenalkan menerusi Dekri No. 10/2022/ND-CP, insentif fi pendaftaran itu berperanan penting dalam menyokong pasaran EV domestik.

Kenderaan elektrik bateri diberikan pengecualian penuh fi pendaftaran kali pertama selama tiga tahun bermula Mac 2022, sebelum dikenakan kadar keutamaan bersamaan 50 peratus daripada kadar yang dikenakan ke atas kenderaan petrol dan diesel dengan kapasiti tempat duduk yang sama.

Menurut kementerian itu, dasar berkenaan menghasilkan kesan positif dengan membantu memperluas akses pengguna kepada EV, menyokong pengeluar dan pengedar serta menyumbang kepada usaha perlindungan alam sekitar.

Pelanjutan itu dibuat ketika pasaran kenderaan elektrik global terus berkembang pesat.

Jualan EV di seluruh dunia melepasi 17 juta unit pada 2024 dan dijangka melebihi 20 juta unit tahun ini, mewakili lebih satu perempat daripada jumlah jualan kenderaan global.

Dalam konteks itu, banyak negara sedang mempergiat langkah untuk mengurangkan kebergantungan terhadap kenderaan berasaskan bahan api fosil serta menggalakkan penggunaan pengangkutan yang lebih bersih.

Insentif fi pendaftaran kini menjadi antara instrumen yang digunakan secara meluas bagi mengurangkan kos pembelian awal dan menggalakkan pengguna beralih kepada mobiliti elektrik.

Menurut Kementerian Kewangan Vietnam, dekri terbaharu itu dijangka terus merangsang penggunaan EV, memperkukuh pembangunan industri kenderaan elektrik negara serta menyokong strategi yang lebih luas untuk mempromosikan sistem pengangkutan hijau dan rendah pelepasan karbon.

-- BERNAMA-VNA

Must Watch Video

Advertisement