Skip to main content

Dunia

Uganda sahkan tiga kes baharu ebola, 10 negara berisiko

A health worker transports a patient from an ambulance believed to be carrying a U.S. doctor who is being transferred from Uganda to the Faculty Hospital Bulovka after he came into contact with a patient infected with Ebola, after it arrived at the hospital in Prague, Czech Republic, May 21, 2026 REUTERS/Eva Korinkova
Seorang petugas kesihatan memindahkan pesakit dari sebuah ambulans yang dipercayai membawa seorang doktor AS, yang sedang dipindahkan dari Uganda ke Hospital Fakulti Bulovka selepas terdedah kepada pesakit yang dijangkiti Ebola. - Foto REUTERS

KAMPALA: Uganda mengesahkan tiga kes baharu Ebola, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan dalam wabak semasa meningkat kepada lima kes, ketika pihak berkuasa mempergiat usaha pengesanan kontak bagi mengawal penularan.

Kementerian Kesihatan Uganda memaklumkan dua daripada kes baharu melibatkan seorang pemandu yang membawa pesakit pertama serta seorang petugas kesihatan yang terdedah ketika merawat pesakit tersebut.

Kedua-duanya kini sedang menerima rawatan.

Kes ketiga melibatkan seorang wanita dari Republik Demokratik Congo (DRC) yang memasuki Uganda sebelum disahkan positif selepas kembali ke negaranya.

Perkembangan itu berlaku ketika Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Afrika (Africa CDC) memberi amaran bahawa sekurang-kurangnya 10 negara berada dalam risiko penularan wabak, termasuk Kenya, Rwanda, Tanzania dan Zambia.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula telah menaikkan tahap risiko wabak di DRC kepada “sangat tinggi” di peringkat nasional, dengan risiko serantau kekal tinggi.

DRC setakat ini mencatat hampir 750 kes disyaki dan 177 kematian disyaki, dengan wilayah Ituri dikenal pasti sebagai pusat wabak.

WHO memaklumkan beberapa faktor menyukarkan usaha mengawal wabak, termasuk pengesanan lewat, ketiadaan vaksin khusus bagi strain Bundibugyo, keganasan bersenjata serta mobiliti tinggi penduduk.

Sebagai langkah pencegahan, Uganda telah menggantung semua pengangkutan awam ke DRC bagi mengekang penularan rentas sempadan.

 

 

Dalam perkembangan berkaitan, sebuah khemah rawatan Ebola di timur DRC dilaporkan dibakar oleh individu tidak dikenali, menyebabkan panik dalam kalangan petugas kesihatan dan 18 pesakit disyaki melarikan diri.

Pihak berkuasa kesihatan kini memantau rapat semua kontak rapat kes disahkan dan menggesa orang ramai supaya kekal berwaspada serta segera melaporkan sebarang gejala.

Pakar kesihatan memberi amaran bahawa tindakan pantas dan kerjasama serantau amat penting bagi mengelakkan wabak daripada merebak lebih luas di Afrika.
 

 

 

Must Watch Video

Advertisement