WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mendapat sorakan bu berulang kali ketika menjadi presiden AS pertama yang masih memegang jawatan menghadiri perlawanan akhir NBA pada Isnin, lapor Anadolu Ajansi.
Kehadiran Trump mendorong pihak berkuasa melaksanakan kawalan keselamatan ketat di sekitar Madison Square Garden, termasuk menutup jalan kepada kenderaan serta mengehadkan akses pejalan kaki hanya kepada pemegang tiket yang perlu melalui lima pusat pemeriksaan sebelum memasuki arena bagi menyaksikan Perlawanan Ketiga.
Rasa tidak puas hati orang ramai jelas kelihatan apabila konvoi keselamatan Trump turut disambut dengan sorakan bu daripada orang awam ketika menghampiri arena berkenaan.
Sorakan itu semakin kuat di dalam stadium apabila Trump dipaparkan di skrin gergasi sedang memberi tabik hormat di suite pemilik New York Knicks James Dolan semasa lagu kebangsaan dimainkan, sekali gus mencetuskan laungan “buuu” daripada penonton.
Rakaman yang dimuat naik di media sosial turut menunjukkan keadaan sama berlaku di luar arena semasa acara tontonan awam di Bryant Park berdekatan apabila kumpulan besar penyokong Knicks melaungkan sorakan bu terhadap presiden itu ketika wajahnya dipaparkan di skrin.
New York Knicks tewas 115-111 kepada San Antonio Spurs dalam Perlawanan Ketiga, namun masih mendahului siri itu 2-1. Perlawanan Keempat akan berlangsung pada Rabu di New York.
-- BERNAMA-ANADOLU