ST PETERSBURG: Forum Ekonomi Antarabangsa St. Petersburg ke-29 (SPIEF 2026) melabuhkan tirainya dengan mencatat penyertaan tertinggi dalam tempoh sedekad apabila lebih 24,500 delegasi dari 142 negara hadir bagi membincangkan hala tuju ekonomi global dalam landskap geopolitik yang semakin kompleks.
Penganjur memaklumkan sebanyak 1,084 perjanjian dimeterai sepanjang forum berlangsung dengan nilai keseluruhan mencecah 6.64 trilion rubel, sekali gus mencerminkan minat berterusan pelabur antarabangsa terhadap kerjasama ekonomi dengan Rusia.
Penasihat Presiden Rusia dan Setiausaha Eksekutif Jawatankuasa Penganjur SPIEF, Anton Kobyakov berkata kehadiran delegasi dari Amerika Syarikat (AS) merupakan antara perkembangan penting edisi tahun ini.
“Jumlah keseluruhan peserta telah melebihi 24,500 orang buat pertama kali dalam tempoh 10 tahun. Forum ini turut dihadiri delegasi rasmi Amerika Syarikat,” katanya pada Isnin.
Beliau turut menegaskan bahawa Rusia kekal komited terhadap pendekatan dialog terbuka dan kerjasama pragmatik dengan semua pihak.
“Rusia tidak pernah menutup pintu untuk dialog,” katanya, sambil menyifatkan tema forum tahun ini sebagai seruan kepada dunia untuk mengutamakan kerjasama berbanding pertembungan.
Dalam pada itu, SPIEF 2026 turut memberi tumpuan kepada perubahan struktur ekonomi global, termasuk kebangkitan ekonomi negara-negara membangun, transformasi digital, kecerdasan buatan (AI) serta cabaran keselamatan tenaga dan makanan.
Forum berkenaan disifatkan sebagai platform penting dalam merangka hala tuju ekonomi dunia yang semakin bergerak ke arah sistem multipolar.