WASHINGTON: Rundingan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran masih berterusan, kata Presiden Donald Trump awal pagi Selasa, hanya beberapa jam selepas Iran dan Israel bersetuju untuk menghentikan serangan antara satu sama lain yang mengancam gencatan senjata.
Anadolu Ajansi melaporkan Trump berkata rundingan dengan Tehran tidak terhenti semasa peningkatan keganasan dan memberikan isyarat bahawa perjanjian untuk menamatkan perang secara rasmi boleh dicapai dalam "satu atau dua hari lagi...saya fikir ia berjalan lancar."
"Mereka saling menyerang, dan kini kedua-dua pihak bersetuju menerusi saya untuk berhenti, dan kami berada dalam halangan terakhir berhubung apa yang akan menjadi perjanjian yang sangat baik yang tidak akan membenarkan dalam apa jua cara, bentuk, atau membangunkan senjata nuklear, dan lain-lain," kata presiden AS itu kepada pemberita selepas menghadiri perlawanan akhir NBA di New York.
“Selat (Hormuz) akan dibuka segera, ia akan dibuka serta-merta selepas (perjanjian) ditandatangani, yang mungkin dalam dua atau tiga hari," katanya.
Ketegangan serantau semakin memuncak sejak AS dan Israel melancarkan serangan udara ke atas Iran pada 28 Feb.
Gencatan senjata yang rapuh yang dicapai pada April berdepan ujian paling getir setakat ini pada Ahad apabila Israel mengebom ibu kota Lubnan Beirut, walaupun gencatan senjata dipersetujui di negara itu.
Serangan Israel mendorong Iran melancarkan peluru berpandu ke arah utara Israel sebagai tindak balas, manakala Israel melakukan beberapa gelombang serangan udara terhadap Iran.
Tentera Iran berkata awal Isnin pihaknya menghentikan serangan ke atas Israel sambil memberi amaran tentang tindak balas yang "menghancurkan" jika serangan Israel ke Lubnan berterusan.
Media Israel, memetik pegawai yang tidak dinamakan, melaporkan Israel bersetuju untuk menghentikan serangan udara ke atas Iran namun akan meneruskan operasi ketenteraan di selatan Lubnan.
-- BERNAMA-ANADOLU