LIMA (PERU): Pusingan penentuan pilihan raya presiden Peru masih sengit setakat tengah hari Isnin, dengan lebih 94 peratus undi telah dikira dan kedua-dua calon menggesa penyokong masing-masing supaya bertenang, lapor Anadolu Ajansi.
Angka terkini daripada Pejabat Kebangsaan Proses Pilihan Raya Peru (ONPE) menunjukkan Roberto Sanchez mendahului tipis Keiko Fujimori.
Sanchez kini memperoleh 50.029 peratus undi, berbanding Fujimori dengan 49.971 peratus.
Di Arequipa di selatan negara itu, iaitu bandar kedua terbesar Peru, keputusan rasmi menunjukkan Sanchez meraih 63 peratus undi, manakala Fujimori memperoleh 36 peratus.
Di ibu negara Lima, Fujimori mendahului dengan 63 peratus undi berbanding Sanchez 36 peratus.
Bercakap kepada pemberita pada Isnin, Fujimori berkata beliau kekal tenang ketika pihak berkuasa pilihan raya terus mengira undi.
“Apa yang diperlukan ialah kesabaran dan ketenangan.
“Saya juga menyeru wakil-wakil, bukan sahaja pemerhati undi, tetapi juga wakil perundangan, yang jumlahnya melebihi 100 orang di seluruh Peru, kerana mereka perlu berjuang dan meneliti setiap helaian keputusan pengiraan undi.
“Kita perlu menunggu dan menghormati keputusan, siapa pun pemenangnya,” katanya.
Sanchez turut menyeru agar “bertenang dan bersabar” ketika bercakap kepada pemberita di Kongres negara itu.
“Keputusan penting menerusi kiraan pantas telah pun dikeluarkan... Kami yakin dan optimis, namun setakat ini, keputusan rasmi sehingga 100 peratus masih belum diumumkan,” katanya.
-- BERNAMA-ANADOLU