Skip to main content

Dunia

Israel perluas kawalan tentera hingga 70 peratus Gaza

FILE PHOTO: A drone view shows damaged and destroyed buildings, destroyed in the Israeli military offensive, following a ceasefire between Israel and Hamas, in Khan Younis in the southern Gaza Strip January 24, 2025. REUTERS/Mohammed Salem/File Photo
Kekurangan bekalan penting terus mengancam kesihatan dan perkhidmatan air di Gaza, manakala akses kepada air bersih dan selamat telah menjadi sangat terhad. - Reuters

KUALA LUMPUR: Pasukan pendudukan Israel memperluas kawalan ketenteraan sehingga 70 peratus Semenanjung Gaza, memburukkan lagi pemindahan paksa, menyekat akses kemanusiaan dan memperdalam krisis kemanusiaan, menurut Negara Palestin.

Dalam Laporan Situasi terbaharunya, yang dikeluarkan oleh Pusat Komunikasi Kerajaan di Pejabat Perdana Menteri, ia menyatakan kekurangan bekalan penting terus mengancam kesihatan dan perkhidmatan air di Gaza, manakala akses kepada air bersih dan selamat telah menjadi sangat terhad.

Menurut laporan itu, sekurang-kurangnya 72,971 rakyat Palestin terbunuh di Gaza sejak Oktober 2023, termasuk sekurang-kurangnya 21,638 kanak-kanak, manakala 173,128 lagi cedera.

Laporan itu menyatakan serangan Israel berterusan di seluruh Gaza sejak dua minggu lepas, menyebabkan lebih banyak korban awam dan kemusnahan.

Ia memaklumkan kira-kira 26 rakyat Palestin maut semasa Aidiladha ketika serangan Israel yang berterusan, termasuk serangan ke atas khemah yang melindungi penduduk Palestin yang terlantar di al-Mawasi, kem pelarian al-Shati dan Bandar Gaza.

Laporan itu juga memaklumkan 11,200 rakyat Palestin masih hilang, manakala lebih 1,700 pekerja kesihatan dan 262 wartawan dan pekerja media terkorban sejak Oktober 2023.

Mengenai Tebing Barat, termasuk Baitulmaqdis yang diduduki, laporan itu menyatakan 1,171 rakyat Palestin telah terbunuh, termasuk 244 kanak-kanak, manakala 12,666 yang lain telah cedera sejak Oktober 2023.

Laporan memaklumkan lebih 9,500 rakyat Palestin masih dipenjarakan, manakala lebih 33,000 rakyat Palestin kehilangan tempat tinggal di Jenin dan Tulkarem sejak Januari 2025.

Menurut laporan itu, 1,659 serangan telah didokumenkan di seluruh Tebing Barat yang diduduki pada Mei, termasuk pencerobohan tentera, rampasan tanah, perobohan, pemusnahan harta benda, sekatan akses kepada tanah pertanian dan serangan peneroka.

Laporan itu turut menekankan keadaan tahanan Palestin yang semakin teruk di penjara Israel, memetik pengabaian perubatan, kekurangan zat makanan, kesesakan dan penularan penyakit.

Ia berkata bilangan banduan wanita meningkat kepada 89, termasuk kanak-kanak bawah umur, pelajar universiti, wanita hamil dan wanita yang menghidap penyakit serius.

Mengenai situasi fiskal, Menteri Kewangan dan Perancangan Palestin Dr Estephan Salameh berkata Kerajaan Palestin sedang menghadapi krisis fiskal yang belum pernah berlaku sebelum ini berikutan penahanan berterusan Israel terhadap hasil pelepasan Palestin selama hampir satu setengah tahun.

Beliau berkata hasil itu membentuk kira-kira 68 peratus daripada jumlah pendapatan Kementerian Kewangan, dengan jumlah terkumpul yang ditahan dianggarkan sekitar AS$5.7 bilion.

Salameh berkata keadaan itu meletakkan tekanan pada sektor penting, khususnya penjagaan kesihatan, pendidikan dan perkhidmatan awam.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement