BANDARAYA GAZA: Kementerian Kesihatan Gaza mendakwa pada Selasa Israel menghalang lebih 17,000 rakyat Palestin daripada meninggalkan Gaza untuk mendapatkan rawatan perubatan di luar negara, sambil memberi amaran yang jumlah kematian dalam kalangan pesakit yang menunggu rawatan mungkin terus meningkat, lapor Anadolu Ajansi (AA).
“Terdapat 17,757 rujukan perubatan yang didokumenkan setakat 20 Mei,” kata Pemangku Timbalan Menteri Kesihatan Maher Shamiya, dalam sidang media di Kompleks Perubatan Al-Shifa di Bandaraya Gaza.
Beliau berkata hanya 3,226 individu berjaya keluar melalui Pintu Sempadan Rafah dan Pintu Sempadan Kerem Shalom (Karam Abu Salem), termasuk 1,204 pesakit.
Sektor kesihatan Gaza kini berdepan kelumpuhan menyeluruh susulan serangan selama dua tahun yang menyebabkan kemusnahan besar terhadap hospital dan infrastruktur kesihatan, selain kekurangan ubat-ubatan, bahan api dan bekalan perubatan yang kritikal.
Pintu Sempadan Rafah antara Gaza dan Mesir dibuka semula sebahagiannya pada Februari sebagai sebahagian daripada fasa pertama perjanjian gencatan senjata yang ditaja oleh Amerika Syarikat, selepas ditutup selama 20 bulan berikutan pengambilalihan terminal itu oleh tentera Israel pada Mei 2024.
Pintu sempadan itu ditutup semula pada akhir Februari susulan tercetusnya konflik antara Israel dan Iran sebelum operasi terhad disambung semula pada Mac dan April.
Sejak 21 Mei, pintu sempadan itu hanya beroperasi secara amat terhad untuk pergerakan pejalan kaki, membolehkan puluhan pesakit, mangsa cedera dan kes kemanusiaan melintas setiap hari di bawah pengawasan ketat Israel, manakala ribuan lagi masih terkandas di Gaza menunggu kebenaran untuk keluar.
Shamiya berkata jurang besar antara jumlah pesakit yang memerlukan rawatan dan mereka yang dibenarkan keluar mencerminkan “jurang kemanusiaan yang berbahaya”, yang memburukkan penderitaan pesakit serta meningkatkan kadar kematian harian.
“Israel memikul tanggungjawab utama terhadap krisis ini,” katanya sambil menyifatkan proses tapisan keselamatan yang panjang dan pengurangan hari perjalanan melalui pintu sempadan sebagai punca utama kemerosotan ketara jumlah pesakit yang dibenarkan keluar.
Menurut beliau, perjalanan melalui pintu sempadan darat Rafah ke Mesir kini terhad kepada tiga hari seminggu, manakala hanya satu hari diperuntukkan bagi pemindahan perubatan ke Mesir melalui Kerem Shalom yang bersempadan dengan Israel.
“Langkah ini mencerminkan dasar sistematik untuk menghalang pesakit mendapatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan khusus di luar Semenanjung Gaza,” katanya.
Beliau berkata usaha memulihkan dan melengkapkan hospital serta kemudahan kesihatan di Gaza akan mengurangkan keperluan merujuk sejumlah besar pesakit untuk mendapatkan rawatan di luar wilayah itu.
Israel mengenakan sekatan ke atas Semenanjung Gaza sejak 2007. Kira-kira 1.5 juta daripada 2.4 juta penduduk Palestin di wilayah itu kini kehilangan tempat tinggal dan hidup dalam keadaan yang amat sukar selepas serangan yang memusnahkan kediaman mereka.
Menurut laporan itu, serangan Israel sejak Oktober 2023 meragut nyawa hampir 73,000 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 173,000 yang lain.
-- BERNAMA-ANADOLU