ISTANBUL: Kru sebuah helikopter serangan Apache milik Tentera Darat Amerika Syarikat (AS) yang terhempas berhampiran Selat Hormuz pada Isnin berjaya diselamatkan, menurut beberapa laporan, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Punca kejadian masih belum diketahui dan tidak jelas sama ada helikopter berkenaan terkena tembakan Iran, mengalami kerosakan mekanikal atau menghadapi masalah lain, menurut laporan The New York Times yang memetik sumber.
Awal pagi Selasa, Presiden AS Donald Trump berkata: “Juruterbang berada dalam keadaan baik, tiada siapa yang cedera, kami akan mengeluarkan laporan esok, tetapi juruterbang berada dalam keadaan baik.”
Insiden itu berlaku selepas beberapa hari ketegangan tidak menentu di rantau berkenaan, ketika Israel dan Iran saling melancarkan serangan ketenteraan sebelum masing-masing berundur, sekali gus menyerlahkan kerapuhan gencatan senjata.
Presiden AS itu berkata rundingan dengan Iran masih berjalan dan kedua-dua pihak “sangat hampir mencapai perjanjian yang sangat baik, kukuh dan berkesan” ketika beliau bersiap untuk kembali ke Rumah Putih selepas menghadiri perlawanan akhir NBA di New York.
Tentera AS telah mengerahkan helikopter Apache bersama dron bersenjata MQ-9 Reaper serta pesawat pejuang F/A-18 dan F-35 dalam kempen agresif Markas Pemerintahan Pusat AS (CENTCOM) bagi mengekang tindakan Iran yang secara berkesan menutup Selat Hormuz kepada kebanyakan kapal komersial.
Sejak perang bermula pada 28 Feb, Iran dilaporkan menembak jatuh kira-kira 30 dron Reaper, manakala beberapa jet pejuang AS hilang akibat tembakan musuh dan tembakan khilaf. Bagaimanapun, ini dipercayai helikopter Apache pertama yang musnah dalam konflik berkenaan.
-- BERNAMA-ANADOLU