Skip to main content

Dunia

Gempa bumi berukuran 8.2 boleh berlaku di enam palung aktif Filipina - PHIVOLCS

Sumber: X
Gempa bumi luar pesisir Sarangani berukuran 7.8 magnitud menggegarkan beberapa kawasan di Mindanao pada Isnin lepas dan berpunca daripada Palung Cotabato. - Gambar fail/X

MANILA: Semua kawasan yang terletak di sepanjang enam palung aktif di Filipina berisiko mengalami gempa bumi sehingga berukuran 8.2 magnitud, kata ketua Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina (Phivolcs) pada Selasa, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).

Palung berkenaan ialah Palung Filipina (terletak dari timur Luzon hingga tenggara Mindanao); Jurang Timur Luzon; Palung Manila; Palung Negros; Palung Sulu; dan Palung Cotabato, kata Pengarah Phivolcs Teresito Bacolcol dalam temu bual bersama PNA.

Gempa bumi luar pesisir Sarangani berukuran 7.8 magnitud menggegarkan beberapa kawasan di Mindanao pada Isnin lepas dan berpunca daripada Palung Cotabato.

Bacolcol mengesahkan bahawa gempa itu setakat ini merupakan yang paling kuat melanda Filipina tahun ini.

Bagaimanapun, gempa bumi paling kuat yang pernah direkodkan di negara itu masih gempa berukuran 8.1 magnitud di Mindanao pada 17 Ogos 1976.

Menjelaskan mengapa pusat gempa tidak terletak di Cotabato, Bacolcol berkata: “Ia dinamakan Palung Cotabato, tetapi sebenarnya palung itu sangat panjang, melebihi 300 kilometer.”

Beliau berkata mana-mana kawasan yang terletak di sepanjang palung aktif berpotensi mengalami gempa bumi yang sangat kuat.

Memandangkan gempa bumi boleh berlaku tanpa amaran, Bacolcol menasihatkan komuniti pesisir pantai supaya segera berpindah ke kawasan lebih tinggi apabila gegaran kuat berlaku.

“Penduduk yang tinggal di komuniti pesisir pantai perlu mengetahui tanda semula jadi berlakunya tsunami tempatan,” katanya.

Bacolcol menyebut tiga tanda tsunami bakal berlaku, iaitu gegaran kuat, penurunan atau kenaikan paras laut secara mendadak serta bunyi deruman dari arah laut.

“Jika mana-mana tanda ini diperhatikan, mereka perlu segera berpindah ke kawasan yang lebih tinggi,” katanya.

-- BERNAMA-PNA

Must Watch Video

Advertisement