Skip to main content

Bisnes

MyCEB menerajui libat urus strategik acara perniagaan bagi memperkukuh kehadiran Malaysia di Asia Tengah

MyCEB Uzbekistan credit: MyCEB
Program Panggilan Jualan (Sales Call Programme) MyCEB menghimpunkan wakil daripada industri pelancongan, sektor korporat, penganjur acara serta industri Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran (MICE) dari Kazakhstan dan Uzbekistan.

ALMATY & TASHKENT: Malaysia Convention & Exhibition Bureau (MyCEB) dengan sokongan Tourism Malaysia Almaty dan Kedutaan Besar Malaysia di Republik Uzbekistan, telah berjaya menganjurkan Program Panggilan Jualan (Sales Call Programme) MyCEB yang julung kali diadakan di Almaty, Kazakhstan, bersempena Seminar Acara Perniagaan Malaysia di Almaty dan di Tashkent, Uzbekistan.

Inisiatif ini menandakan penglibatan khusus Acara Perniagaan Malaysia yang pertama di Kazakhstan dan Uzbekistan, sekali gus mengukuhkan komitmen MyCEB dalam memperluaskan kehadiran Malaysia di pasaran antarabangsa yang sedang berkembang serta memposisikan negara sebagai destinasi Acara Perniagaan terkemuka di Asia.

Program ini menghimpunkan wakil daripada industri pelancongan, sektor korporat, penganjur acara serta industri Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran (MICE) dari Kazakhstan dan Uzbekistan.

Image
MyCEB Uzbekistan credit: MyCEB
Penekanan khusus turut diberikan kepada kedudukan Kuala Lumpur sebagai antara hab Acara Perniagaan utama di Asia. - Foto MyCEB

Sesi libat urus ini berfungsi sebagai platform khusus untuk mengetengahkan kelebihan Malaysia sebagai destinasi pilihan bagi Acara Perniagaan, termasuk keupayaan negara dalam menganjurkan mesyuarat antarabangsa, persidangan, pameran dan program pelancongan insentif.

Ucapan pembukaan disampaikan oleh Duta Besar Malaysia ke Republik Uzbekistan, Ilham Tuah Illias; Pengarah Tourism Malaysia Almaty, Nor Shazly Azmi dan Pengurus Kanan, Bahagian Pembangunan Perniagaan, MyCEB, Edward Lim Chee Chong.

Sepanjang program berlangsung, MyCEB telah membentangkan kelebihan daya saing Malaysia sebagai destinasi Acara Perniagaan antarabangsa, termasuk infrastruktur bertaraf dunia, sektor hospitaliti moden, rangkaian hubungan antarabangsa yang luas, tawaran nilai yang kompetitif serta sokongan kukuh kerajaan terhadap industri Acara Perniagaan.

Penekanan khusus turut diberikan kepada kedudukan Kuala Lumpur sebagai antara hab Acara Perniagaan utama di Asia yang disokong oleh ekosistem menyeluruh untuk mesyuarat, persidangan dan pameran.

Ketua Pegawai Eksekutif MyCEB, Tan Mei Phing berkata, Asia Tengah merupakan pasaran pertumbuhan yang berpotensi bagi industri Acara Perniagaan Malaysia.

“Melalui penglibatan sulung di Kazakhstan dan Uzbekistan ini, kami memperkukuh hubungan industri, mewujudkan peluang kerjasama baharu serta memposisikan Malaysia sebagai pintu masuk pilihan bagi Acara Perniagaan antarabangsa di Asia Tenggara.

“Disokong oleh infrastruktur moden, hubungan penerbangan yang kukuh, sokongan kerajaan dan portfolio lokasi bertaraf dunia yang pelbagai, Malaysia menawarkan kelebihan yang menarik untuk penganjuran Acara Perniagaan dalam pelbagai skala,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Tourism Malaysia Almaty, Nor Shazly Azmi berkata, Kazakhstan dan Uzbekistan kekal menunjukkan perkembangan memberangsangkan sebagai pasaran baharu bagi Malaysia.

“Penambahbaikan hubungan penerbangan dan peningkatan minat terhadap Malaysia membuka peluang besar untuk memperkukuh hubungan pelancongan dan perniagaan antara rantau kita,” jelasnya.

Program di Almaty turut menampilkan pembentangan pelancongan oleh Tourism Malaysia Almaty yang mempromosikan produk pelancongan Malaysia merangkumi segmen santai, mewah, keluarga dan perjalanan perniagaan kepada pasaran Kazakhstan.

Image
MyCEB Uzbekistan credit: MyCEB
Sesi jaringan perniagaan sepanjang program membuka peluang kerjasama masa hadapan antara pemain industri Malaysia dan Asia Tengah. - Foto MyCEB

Para peserta diperkenalkan kepada pelbagai penawaran Acara Perniagaan Malaysia, selain daya tarikan pengalaman bleisure yang menggabungkan perjalanan perniagaan dan pelancongan santai. Seminar-seminar ini juga memudahkan sesi jaringan perniagaan serta membuka peluang kerjasama masa hadapan antara pemain industri Malaysia dan Asia Tengah.

Program-program ini menonjolkan potensi kerjasama yang semakin berkembang antara Malaysia dan negara-negara Asia Tengah dalam bidang pelancongan, perdagangan dan hubungan perniagaan, selaras dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.  

Untuk maklumat lanjut mengenai MyCEB dan inisiatif industri acara perniagaan Malaysia, layari www.myceb.com.my atau ikuti MyCEB di Facebook (MyCEB), X (@MyCEB) dan Instagram (@MyCEB) untuk perkembangan terkini berkaitan acara, program serta peluang kerjasama antarabangsa.

Image
MyCEB Uzbekistan credit: MyCEB
Inisiatif menandakan penglibatan khusus Acara Perniagaan Malaysia yang pertama di Kazakhstan dan Uzbekistan. - Foto MyCEB

Must Watch Video

Advertisement