KUALA LUMPUR: Perbelanjaan bulanan subsidi bahan api Malaysia meningkat setinggi RM7.5 bilion pada satu ketika dalam bulan April, apabila ketegangan Asia Barat melonjakkan harga minyak global dan menambah kebimbangan mengenai bekalan tenaga, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata perbelanjaan subsidi itu meningkat daripada kira-kira RM700 juta sebulan pada Januari dan Februari kepada RM5 bilion pada Mac, sebelum mencecah paras tinggi pada April, walaupun jumlah itu menjadi sederhana susulan penurunan harga minyak.
“Bagaimanapun, pada masa ini dengan harga yang semakin turun dan menjadi sederhana, kita mungkin menjangkakan subsidi berjumlah kira-kira RM3.5 bilion hingga RM4 bilion,” katanya semasa sesi bertajuk ‘Mengimbangi Fokus Fiskal dengan Risiko Luaran’ di Invest Malaysia 2026 di sini, hari ini.
Beliau berkata keutamaan serta-merta kerajaan adalah memastikan bekalan bahan api tidak terganggu untuk menyokong ekonomi.
“Ekonomi tidak boleh berfungsi jika tiada bekalan (bahan api),” katanya.
Amir Hamzah berkata setakat ini Malaysia telah mengelakkan gangguan bekalan sebahagiannya kerana negara ini ialah pengeksport tenaga bersih, manakala institusi negara dan syarikat minyak berhasil memperoleh bekalan melalui rangkaian global masing-masing.
Beliau berkata reformasi yang dilaksanakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini turut membantu mengukuhkan keupayaan negara dalam menghadapi kejutan luaran serta mengurus peningkatan kos subsidi.
Tanpa reformasi tersebut, kerajaan akan menghadapi kos subsidi yang melebihi RM10 bilion, katanya.
Beliau berkata kerajaan terus mengimbangi kemampanan fiskal dengan langkah untuk melindungi golongan rentan dan mengekalkan kegiatan ekonomi, manakala pelbagai kementerian turut mengamalkan perbelanjaan yang lebih cekap bagi membantu mengurus kewangan awam.
Ketika bercakap kepada pemberita selepas itu, Amir Hamzah berkata tekanan terhadap subsidi mula berkurangan susulan penurunan harga minyak global daripada paras yang tinggi sebelum ini.
Beliau berkata harga minyak susut daripada kira-kira US$120 setong kepada antara US$90 hingga US$98 setong bulan ini, sekali gus membantu mengurangkan tekanan terhadap perbelanjaan subsidi.
Kerajaan akan mengekalkan kuota semasa dan harga bahan api bersubsidi mengikut program bantuan bahan api BUDI MADANI, katanya.
-- BERNAMA