PETALING JAYA: Pengukuhan ekosistem data kredit yang boleh dipercayai dan mudah diakses menjadi semakin penting dalam usaha memperluaskan akses pembiayaan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Malaysia.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, penggunaan data kredit yang berkualiti mampu membantu mengurangkan jurang maklumat antara institusi kewangan dan perniagaan, sekali gus membolehkan penilaian risiko dibuat dengan lebih tepat.
Menurut beliau, akses kepada data kredit yang lebih baik akan membantu PMKS yang berdaya maju memperoleh pembiayaan dengan syarat yang lebih adil dan kompetitif.
"Keterangkuman kewangan bukan sekadar memperluaskan akses kepada pembiayaan, tetapi memastikan akses itu mampan, berasaskan data dan disokong oleh amalan pengurusan risiko yang kukuh," katanya ketika berucap pada CTOS SME Biz Day 2026, di sini, pada Selasa.
Beliau turut menegaskan bahawa pendigitalan kini menjadi elemen penting dalam memperkukuh daya saing PMKS serta memastikan perniagaan mampu berkembang dalam persekitaran ekonomi yang semakin mencabar.
"Dari sudut ekonomi, pendigitalan bukan lagi satu pilihan, sebaliknya menjadi pemacu utama kepada kecekapan, kebolehskalaan dan akses kepada pasaran," jelasnya.
Dalam ucapannya, beliau juga menekankan bahawa transformasi digital memainkan peranan penting dalam membantu PMKS meningkatkan daya saing, memperkukuh operasi perniagaan serta menyesuaikan diri dengan perubahan keperluan ekonomi semasa.
Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata usaha tersebut selari dengan pelbagai inisiatif kerajaan yang memberi tumpuan kepada pendigitalan, akses pembiayaan dan pemerkasaan ekosistem PMKS sebagai antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara.