PETALING JAYA: Data kredit yang dipercayai dan mudah diakses adalah penting untuk meningkatkan akses kepada pembiayaan bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang dapat mengurangkan jurang maklumat dan membolehkan peruntukan kredit yang lebih cekap, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata, data kredit yang lebih baik membolehkan institusi pembiayaan menilai profil risiko dengan lebih tepat, membolehkan PMKS yang berdaya maju mendapat pembiayaan dengan syarat yang lebih baik.
“Justeru, keterangkuman kewangan bukan hanya mengenai memperluas akses kepada pembiayaan. Ia bertujuan memastikan akses tersebut mampan, berasaskan data serta selaras dengan amalan dan prinsip pengurusan risiko yang kukuh,” katanya dalam ucapan pada CTOS SME Biz Day 2026, di sini, hari ini.
-- BERNAMA